Thursday, November 15, 2012

Menerima Hakikat


Bukan mudah kita nak menerima hakikat atas apa musibah yang menimpa. Kalau tiada kekuatan diri akan hilang pertimbangan maka hilang juga pedoman dan akhirnya ramai yang mengambil jalan yang menyalahi fitrah kehidupan. Manusia tidak lari dari ditimpa musibah. Oleh kerana hidup manusia pasti akan disulami dengan musibah, maka Allah mengajarkan kita cara menghadap musibah. Banyak hadith dan ayat Quran yang membicarakan mengenai cara menghadapi musibah.

Ada tiga peringkat mengenai sikap manusia ketika ditimpa sesuatu musibah.

1. Pada permulaannya, berlaku penolakkan. Di peringkat ini, manusia tidak menerima hakikat bahawa sesuatu telah hilang darinya, sesuatu telah tiada, sesuatu telah menimpa dan sebagainya. Dia akan cuba lari dari hakikat dan masaalah. Jika dia cuba lari dari menerima hakikat, jiwanya akan semakin tertekan, hatinya semakin sempit dan fikirannya semakin keliru.

Di dalam Islam, kita perlu jujur menerima hakikat diri kita. Semakin berani kita untuk jujur menerima hakikat diri semakin tenang jiwa kita. Sebab itu di dalam Islam ada konsep muhasabah. Muhasabah bererti menerima kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri. Jika kita tidak dapat menerima hakikat diri kita, maka kita tidak akan dapat membuat perubahan di dalam diri kita.

2. Peringkat kedua, manusia akan mengeluh, marah-marah, mendongkol, menyalahkan orang lain dan yang paling parah ialah apabila menyalahkan takdir. Di peringkat ini, mereka telah menerima hakikat bahawa mereka sedang melalui masa getir, tetapi mendongkol dengan keadaan diri.

Sesungguhnya, mengeluh tidak merubah apa-apa. Sikap marah-marah juga tidak merubah apa-apa. Dia akan membuatkan kita semakin tertekan dan terhimpit. Sudahlah ditimpa musibah, hati pula hilang bahagia. Di dalam Islam, kita ada konsep muraqabah, iaitu rasa sentiasa diawasi oleh Allah. Hari ini jika kita senang, Allah mahu melihat apa yang kita lakukan begitu juga apabila kita susah. Allah akan melihat apa yang akan kita lakukan. Semua, susah dan senang ada nilaian pahala jika kita membuat sesuatu dengan betul. Jika kita rasa sentiasa diawasi Allah, kita akan selalu mencari keredhaannya. Waktu senang kita tidak lupa Allah, waktu susah kita bergantung penuh denganNya. Akhirnya, senang dan susah tetap tenang dan tetap bahagia.

3. Peringkat ketiga barulah biasanya manusia menerima segala apa ketentuan hidupnya. Barulah tidak marah-marah, tidak mengeluh dan sebagainya. Walaubagaimana pun, jika salah kefahamannya, manusia akan putus asa, hilang harapan, hilang semangat, hilang rasa untuk terus berusaha. Akhirnya, hidupnya semakin murung, semakin tidak ceria dan semakin kusut.

Di dalam Islam, apabila kita telah menerima kita di dalam keadaan susah, ada konsep tawakkal. Tawakkal ialah kita berusaha dan bakinya kita serahkan pada Allah untuk menyempurnakannya. Jika perniagaan kita gagal, kita usahakan terus, ubah sana dan sini, baki serah pada Allah. Jika rumah tangga kita gagal, kita usahakan untuk perbaiki, baki yang diluar kemampuan kita, kita serah pada Allah.

Orang yang ada konsep muhasabah, muraqabah dan tawakkal akan sentiasa positif di dalam hidupnya. Dia akan sentiasa tenang walaupun musibah itu ibarat bukit yang menghempapnya. Sesungghunya, semua manusia akan diuji dengan musibah, yang membezakan orang beriman atau tidak ialah di hujung ujian.

Jika di hujung ujian dia tetap tidak putus asa, tetap berusaha, tetap tenang, tetap berjuang maka dia adalah pemenang di dalam ujian tersebut. Yakinlah apa yang ditetapkan oleh Allah adalah yang terbaik untuk diri kita... Biar orang lain tidak mengerti apa yang kita lalui tetapi yakinlah Allah mengetahui dan mengerti segala-gala nya. Di kala terasa keseorangan, ingatlah Allah sentiasa ada bersama, di kala terasa kesedihan ingatlah Allah tidak akan menguji lebih dari kemampuan kita, di kala kecewa..ingatlah orang yang lebih menderita...
 

Yang utama kita belajarlah untuk menghadapi sesuatu perkara yang kita tak sangka datang kepada kita, belajar dalam erti kata cuba untuk menyesuaikan diri dengan perkara tersebut. Hadapinya dengan keyakinan dan usaha yang tegar. Bukan berdolak dalik, bukan mencemuh, bukan mengeluh. Semua itu adalah dugaan dalam kehidupan di dunia ini. Kita selalu mengkehendaki apa yang kita mahukan sahaja, tapi kita tak sedar, kadang kala apa yang kita mahukan sebenarnya diinginkan oleh orang lain.

Kemahuan untuk kita mungkin masanya belum tiba, mungkin masa ini milik orang lain kemahuan tersebut. Pastinya pada masa akan datang, masanya sudah tiba maka kemahuan kita akan datang sendiri hasil kesabaran, ketaqwaan dan usaha ke arah kemahuan tersebut. Apa yang sepatutnya kita jadikan ikhtibar, Allah memberikan apa yang kita perlukan dan Allah memberi peluang kepada kita untuk kita lebih berusalah dan mendekatkan diri kepada-Nya bagi mencapai apa yang kita inginkan.

Adakalanya kita mengharapkan kemahuan tetapi usaha kita tak sehebat kemahuan yang kita nak capai sebab itulah Allah mendidik kita untuk mengenal erti penat lelah berusaha bagi mencapai kemahuan dalam hidup. Jangan bersedih dengan keperluan yang telah kita ada, tetapi bergembiralah kelak kemahuan yang kita inginkan akan tercapai berkat kesabaran kita. Permulaan Sabar Adalah Pahit, Tapi Manis Akhirnya.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih.